Hati Seorang Penulis Perempuan

Penulis.
Ya, penulis.
Orang yang pandai bermain kata antara rahsia dan terang.

Dalam tulisannya, mungkin ada kewujudan seseorang. Jika dia cinta, tulisannya membuktikan. Jika dia sedang kecewa, tulisannya menjadi terapi penenang.

Hari ini dia memilih warna merah, dalam ingatannya adalah tentang seseorang yang suka warna merah. Dia menulis untuk mencuri perhatian orang yang disukainya, dengan warna kesukaannya.

Hatinya cukup mudah gembira, hanya kerana hal sekecil itu. Biar pun dia tahu, tak semestinya orang yang dia sukai membaca kata-katanya dan merasakan hal yang sama.

Cuma satu yang ingin dia lakukan, meluah.

Esok dia memilih warna biru hitam, dalam ingatannya dia ingin mencuri hati orang yang menyukai warna itu dan dia harapkan orang tersebut juga perlahan-lahan suka pada dirinya.

Hari ini, seorang penulis bermain kata dalam tulisannya. Menulis tentang perasaan dalam bentuk sebuah cerita dongeng.

Sedangkan plot cerita jelas menunjukkan dirinya, cuma dia (penulis) orang yang bijak bersembunyi antara rahsia dan terang. Lalu membuatkan pembaca tertanya-tanya.

Mengapa dia menulis begitu?

Kerana dia ingin meluah tentang perasaannya dan bayangannya dalam bentuk kata-kata. Tak semestinya itu adalah pengalaman peribadi, kebanyakan masa ianya bayangan yang mesti diakhiri dengan tulisan.

Jangan kau tanya, cerita-cerita itu adalah bayangan palsu atau nyata? Dia tidak akan menjawabnya.

Yang penting dia selesai meluahkan melalui kata-kata, itu sudah lebih dari cukup.

Biarkan ia kekal menjadi rahsia di mata pembaca, dia akan terus membijakkan diri antara terang dan rahsia, membuatkan pembaca bertanya dan terus meneka.

Jika kau berkahwin dengan penulis, hati-hati dan juga tahniah.

Jika kau menggembirakan hatinya kau akan terus hidup dalam tulisannya, dia akan berkongsi kebahagiaannya pada dunia. Sehingga dunia pun turut sama merasai bahagia.

Dan jika kau melukakan hatinya, kau juga akan terluka sama dalam tulisannya, malahan mungkin lebih parah lagi lukanya.

(Fatin, 2019)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *