Maksud Cinta Dan Mencintai

Mahu mencintai seseorang dan terus merasa cinta padanya ketika senang sangat mudah. Bila kesusahan datang, adakah ia masih sama? Atau masihkah ia sesenang itu?

Kita sama-sama sedar yang hidup tak selalu di atas. Kita memilih untuk mencintai maka kita perlu bersedia menerima luka. Luka itu bukan untuk membuatkan kita semakin jauh, cukuplah sekadar menguji keteguhan cinta yang kita lafaz hari-hari.

Engkau tahu? Cinta ini perasaan yang hidup dan menghidupkan. Sama macam ketika kau memiliki anak pokok dan untuk menghidupkan pokok itu, kau siram hari-hari dan bajai hari-hari.

Tanpa bosan.

Sebab kau nak pokok itu mekar dan tumbuh, jadi secantiknya, selebatnya, sehingga mengeluarkan buah yang sedap dimakan. Lalu ia bermanfaat untuk orang pula.

Itulah cinta.

Tanpa bosan, saling mencipta kenangan. Tanpa bosan, saling meluahkan rasa sayang. Tanpa bosan, kita saling berganding tangan dalam mengurus masalah. Dan tanpa bosan, kita tak meninggalkan satu sama lain. Dan tanpa bosan, jatuh cinta pada orang yang sama berkali-kali.

Cinta yang menghidupkan itu memerlukan usaha kedua-dua belah pihak. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha, yang lain diam saja, maka salah satunya akan kecewa dan burnt out. Ketika itulah, cinta tiada lagi maknanya.

Cinta? Apabila…

Kau sanggup bangun jam 3 pagi untuk selesaikan susu anak tanpa mengeluh.

Kau sanggup datang sejauh 20 km bertemu pasangan tanpa meminta kembali duit minyak dan mengungkit jalan jem yang telah kau tempuh.

Masa order air di food court shopping mall, soalan pertama yang kau tanya adalah, “Awak nak air apa?”, bukan kata, “Saya nak air bandung”

Ya, cinta itu kadangkala menjadi budak tanpa kau sedar. Kau hanya memberi tanpa mengira pulangannya kembali. Kau hanya mahukan orang yang kau sayang bahagia dan kau tidak mengapa.

Ketika kau katakan “Aku mencintainya”, apa yang telah kau lakukan untuk membuktikan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *