Mac 2017.
Suatu detik yang mengubah pandangan saya terhadap dunia wartawan, komunikasi dan pengacaraan.
Keputusan saya untuk terbang dari Jordan ke Kuala Lumpur bukanlah dibuat dalam masa singkat. Sebenarnya bermula sejak 7 bulan sebelumnya, iaitu ketika saya pulang bercuti, sekitar bulan September 2016.
Kami pelajar-pelajar luar negara akan dapat cuti musim panas sekitar bulan Jun hingga September, dan pada tahun 2016 saya pulang sekejap ke Malaysia.
Sekadar merehatkan diri sebenarnya.
Tapi saya tahu, saya tak rehat mana pun, akan naik turun KL macam rumah sendiri pula. Saya tinggal di Kuala Terengganu ya kawan-kawan.
Kemudian mulalah saya jumpa ramai orang di merata-merata tempat dan program. Mungkin kerana dah terbiasa jadi sibuk. Di Universiti sibuk berpersatuan, di Malaysia sibuk berjumpa orang pula.
Menyantuni Guru
Saya kenal Tuan Amin Idris tak lama. Sekadar di muka buku. Kemudian bertemu secara tak sengaja di majlis pentauliahan NLP. Dari situ saya mula memandang beliau sebagai seorang guru.
Ternyata, bukan disitu sahaja kami bertemu. Ada beberapa tempat lagi yang mempertemukan saya dan beliau. Iyalah, Malaysia tak lah luas mana. Industri pula jika ditemukan dengan orang yang tepat, kita akan jumpa orang yang tepat itu berkali-kali pula.
Saya mula berminat dengan impian yang beliau katakan ketika saya bertemunya, iaitu beliau mahu menyediakan platform untuk orang awam yang berminat menjadi pengacara.
Beliau berkongsi impiannya itu ketika bulan September 2016.
Tanpa sedar, perasaan nak dalam hati ini mula membuak-buak. Saya jadi berdebar-debar pula.
Tapi saya diamkan saja.
Apa yang difikirkan pada waktu itu cuma 1, saya ada masa ke nak balik Malaysia untuk join program ini?
“Bila start program ini?” saya bertanya.
“Rancangnya bulan 12 tahun ini. Program tu mungkin sebulan atau 2 bulan. Setiap minggu ada kelas”, Amin Idris menjawab.
Lagilah saya tak keruan.
Saya baru pulang bulan September, takkan ibu bapa saya lepaskan saya pulang lagi bulan Disember atau Januari semata-mata nak sertai program pengacaraan?
Mula dari saat itu saya tahu, saya betul-betul nak pergi ke bidang pengacaraan. Saya simpan hasrat itu bukan sahaja dalam ingatan malahan setiap hari dalam doa.
Setiap hari.
Tak pernah tinggal.
Sehingga setiap hari, dalam perjalanan ke kelas di Jordan pun, saya membayangkan saya sudah berada di dalam kelas itu dan dikelilingi guru-guru yang saya nak sangat jumpa.
Bercakap Seorang Diri Setiap Pagi Di Jalan Raya
Hahaha. Tergelak bila teringat.
Betul, setiap pagi, ketika berjalan di tepi jalan raya yang berdebu padang pasir tu, menuju bas universiti, saya akan bercakap-cakap seorang diri. Affirmition, omputih kata.
Setiap pagi saya membayangkan, saya sedang menjadi moderator bersebelahan panel-panel pengacara terkemuka tanah air. Masa tu, saya tak terfikir panel itu siapa tapi saya membayangkan itulah wataknya.
Saya duduk sebagai moderator dan disebelah kanan saya duduknya panel-panel yang hebat dan berbakat.
Begitulah.
Impian saya yang membuak-buak untuk pergi program pengacara, sampai buatkan saya terbayang momen-momen yang seronok tu berkali-kali. Ratusan kali mungkin.
Sebenarnya saya buat begitu lepas tengok satu video di Youtube, tentang apa yang kita ulang-ulang dalam minda akan jadi kenyataan.
Dan mula dari situ, saya mula buat “kenyataan” (baca: khayalan) saya sendiri. Walaupun saya pun tak tahu bila dan dimana khayalan ini akan jadi kenyataan.
Khayalan pun dah rasa seronok, apatah lagi kalau jadi betul-betul kan?
Aku Tekad!
Bulan 1, 2017. Cuti semester pertama, saya pulang lagi ke Malaysia sempena sambut “baby” terbaru. Tak sabarnya nak sambut dan dakap.
Alhamdulillah, semua proses berjalan lancar. Dari proses beli tiket, berjumpa penerbit hinggalah proses jualan buku.
Dalam masa beberapa minggu, “baby” naiki anak tangga buku popular di carta Popular BookStore. Syukur Allah mudahkan segala-galanya.
Dalam waktu itu juga, lalu di wall satu iklan yang dah lama saya tunggu. Pendaftaran Untuk Sesiapa Yang Berminat Ke Kursus Pengacaraan oleh Amin Idris. Lebih tepat poster.
Ya Allah!
Hampir mengalir sebenarnya air mata ini. Cantik susunan Allah, tak ganggu pun urusan pengajian saya.
Tak fikir panjang, saya terus daftar. Guna duit tabung haji. Program akan berlangsung pada bulan 3, 2017. Saya kira-kira, waktu itu ya saya akan ada di Jordan. Tapi saya tekad, apa jadi saya akan balik juga Malaysia, saya nak sertai!
Ya Allah, aku dah selangkah ini nak dapat apa yang aku impi-impikan. Kau mudahkanlah, kau mudahkanlah.
Dan pada 22 Mac 2017, saya berangkat dari Jordan ke Kuala Lumpur. 23 Mac 2017, alhamdulillah saya selamat sampai di Malaysia. KLIA 1.